Menurut laporan itu, berdasarkan pengauditan yang dijalankan mulai November 2018 hingga Februari lepas turut mengesan terdapat tuntutan berjumlah RM1.05 juta diluluskan tanpa dokumen sokongan lengkap dan wujud risiko pembayaran terlebih bayar yuran tenaga pengajar serta perolehan aset tidak mengikut prosedur kewangan.

“Antara kelemahan utama pengurusan PLKP, adalah ketiadaan perjanjian formal antara UPEN dan MISDEC (Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan) sebagai entiti pelaksana bagi menetapkan hala tuju program dan kaedah pelaksanaan bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

“Kesan daripada itu, wujud penggunaan peralatan yang tidak optimum, lebihan tenaga pengajar yang akhirnya memberi kesan kepada kos purata per pelatih,” demikian menurut laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Laporan turut menyebut bahawa berlaku peningkatan ketara purata kos perbelanjaan per graduan daripada RM10,870 kepada RM76,652 seorang iaitu peningkatan pada kadar 605.2 peratus, selain mendapati terdapat pembelian peralatan ‘Hydraulic Training Kit’ berjumlah RM0.05 juta dibuat tanpa kelulusan dan tidak mengikut prosedur perolehan Kumpulan Wang Amanah.

Selain itu, pengauditan yang dijalankan terhadap prestasi PLKP mendapati program latihan yang dilaksanakan tidak mencapai objektif sepenuhnya untuk melahirkan graduan yang mencapai kebolehpasaran pekerjaan iaitu 81 pelatih iaitu 49.7 peratus daripada 163 jumlah pelatih yang berjaya menamatkan latihan telah mendapat pekerjaan.

“Baki 50.3 peratus graduan ditawarkan pekerjaan tetapi menolak tawaran berkenaan disebabkan melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi atau graduan berkenaan tidak berminat dengan tawaran pekerjaan itu,” menurut laporan berkenaan.

Semakan turut mengenal pasti, prestasi pengambilan pelatih pada tempoh pengauditan tidak mencapai sasaran di mana hanya 101 pelatih yang berjaya mengikuti kursus berbanding 150 pelatih yang disasarkan.

Justeru itu, bagi mengatasi masalah kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan perkara yang sama tidak berulang, laporan mengesyorkan UPEN untuk menyediakan satu perjanjian formal dengan MISDEC bagi menentukan hala tuju yang jelas mengenai pelaksanaan PLKP selaras dengan kehendak kerajaan di samping menetapkan obligasi berkaitan pematuhan prosedur kewangan, penyediaan perancangan dan pelaksanaan program.

Laporan turut mengesyorkan UPEN mengambil langkah proaktif untuk membuat hebahan kepada masyarakat berkaitan kursus PLKP yang ditawarkan dan menjalankan siasatan berhubung wujudnya risiko lebihan bayaran tenaga pengajar serta peralatan yang tidak dapat dikesan.- BERNAMA