Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. berkata, dalam tempoh yang sama, sebanyak 28 permohonan ditolak, dibatalkan dan dibuang kes manakala 19 kes ditarik balik dengan membabitkan secara keseluruhan 522 remaja berusia antara 13 tahun hingga 17 tahun.

Pada tahun ini, kata beliau, pihaknya menerima 37 permohonan tetapi hanya 34 yang di­luluskan sekali gus menyaksikan trend penurunan berbanding tahun-tahun sebelum­nya iaitu 54 permohonan pada tahun lalu, 58 (2016), 87 (2015), 78 (2014) dan 86 (2013).

“Sebahagian besar permohonan kahwin bawah umur kami tolak dan hanya beberapa kes dibenarkan berdasarkan kes yang mendesak iaitu hamil luar nikah, terlanjur dan telah melahirkan anak.

“Alasan lain seperti suka sama suka, keluarga ingin bermusafir dan terpaksa meninggalkan anak, ingin berkahwin, meringankan beban keluarga, mengelak maksiat, masalah peribadi, berhenti belajar dan lain-lain kebiasaannya tidak dilayan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri 2/2018 oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim di Mahkamah Syariah Terengganu di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan, seramai 45 golongan ibu tunggal dari seluruh negeri masing-masing menerima bantuan melibatkan jumlah keseluruhan RM78,500, terdiri daripada kalangan wanita yang dalam proses mendapatkan tuntutan nafkah daripada bekas suami di Mahkamah Syariah Terengganu.

Had umur minimum perkahwinan orang Islam di negeri ini kekal kepada 18 tahun bagi lelaki manakala 16 tahun bagi perempuan sebagaimana yang telah diputuskan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Terengganu 2017.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd. Zakri berkata, enam bapa dipenjarakan dari 2012 hingga 2016 kerana mengingkari perintah mahkamah untuk membayar nafkah anak-anak mereka.

Katanya, gejala mengingkari perintah pembayaran nafkah di negeri ini oleh bekas suami dan bapa selepas berlaku perceraian makin meluas apabila sebanyak 1,261 kes berkenaan diadukan sejak 2009 hingga November 2018.

Menurutnya, daripada jumlah itu 905 kes telah difailkan ke Mahkamah Syariah Terengganu bagi tujuan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah.