Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PPA1M Plus yang bakal dibina di tanah milik kerajaan negeri seluas 18.21 hektar itu mendapat kerjasama pemaju Bandar Sri Sendayan, Matrix Concepts Hol­dings Bhd. merangkumi 109 unit rumah teres satu tingkat serta 251 unit teres dua tingkat.

“Rumah ini akan dijual pada harga RM245,000 untuk unit teres satu tingkat yang dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air manakala RM340,000 untuk unit rumah teres dua tingkat dengan empat bilik dan dua bilik air.

“Ia dinamakan PPA1M Plus kerana diluluskan secara khas melebihi kadar harga PPA1M iaitu sekitar RM300,000 dengan mengambil kira lokasi yang strategik dan kemudahan lain yang bakal dinikmati di kawasan ini memandangkan ia terletak dalam kawasan segi tiga emas Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian PPA1M Plus di Bandar Sri Sendayan dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, lokasi pembangunan PPA1M Plus yang bersebelahan dengan Pangkalan Udara Sendayan menjadikan kawasan tersebut sebagai bandar satelit kepada Kuala Lumpur.

Katanya, bakal pembeli PPA1M Plus akan menerima subsidi daripada kerajaan sebanyak RM55,000 bagi setiap unit rumah teres satu tingkat dan RM45,000 untuk unit teres dua tingkat.