Wakil mereka yang juga pemilik bengkel kereta, Kooh Tiong Huat, 58, berkata, jika dahulu dia mampu memperoleh pendapatan antara RM3000 hingga RM4000 sebulan, namun ketika ini untuk mendapat RM100 sehari agak sukar walaupun keluar dari pagi hingga ke petang.

"Hampir 30 tahun saya berniaga di sini, sebelum ni keadaan tidak pernah jadi teruk macam ni. Sekarang, nak makan pun susah dengan punca pendapatan yang sangat sedikit sehingga terpaksa menanggung kerugian sebab nak bayar sewa kedai pun dah RM500 sebulan.

"Pendapatan saya mula terjejas selepas pembinaan tersebut yang menganggu kawasan parkir pelanggan yang jarak kurang dari dua meter dengan kedai saya," katanya dalam sidang akbar bagi menyatakan bantahan projek terbabit di sini hari ini.

Projek yang melibatkan kos RM153 juta itu dibina sejauh 1.1 kilometer melintasi bandar berkenaan termasuk lintasan kereta dan dijangka siap Ogos ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd. Yusof Ramli,58, berkata, pihak pemaju ada menawarkan pampasan namun nilainya tidak setimpal untuk menampung kerugian pihak peniaga di sini.

"Mereka tawar pampasan bawah RM10,000 malah ada yang lagi kurang. Kami mahukan keadilan sebab di sini tempat kami mencari sumber pendapatan sejak berpuluh tahun lalu.

"Laporan polis sudah banyak kami lapor, kami harap keadilan akan muncul suatu hari nanti" ujarnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga kedai makan, Maslizani Aziz,48, berkata, dia tidak menolak pembangunan namun jika menyebabkan punca pendapatannya terjejas perkara itu tidak adil.

"Dah hampir 40 tahun saya menjual di sini, dulu saya jual di sini dapat dalam RM700 sehari, sekarang dapat RM400 pun bersyukur sangat.

"Pelanggan sudah tidak datang sebab keadaan yang sangat berhabuk akibat pembinaan tersebut. Saya faham dengan keadaan pelanggan tapi di sini la tempat saya cari rezeki untuk empat anak saya yang masih bersekolah.

"Jika mereka membayar pampasan dan proses bayaran pengambilan tanah selesai dengan jumlah yang setimpal untuk kami, maka barulah projek itu boleh diteruskan sebab kami memerlukan kos yang banyak jika terpaksa berpindah," ujarnya. - UTUSAN ONLINE