Mereka bukannya bersenam atau ambil angin, sebaliknya melakukan amalan murni yang jarang ingin orang lain buat.

Sejak hampir enam bulan lalu, seramai 112 kakitangan SWCorp negeri ini mengadakan program mengutip sampah-sampah kecil di luar pejabat selama

30 minit.

Tidak kira pangkat, semua kena turun kutip sampah termasuk Pengarah SWCorp negeri, Nordin Amat. Program dijalankan serentak di ibu pejabat dan semua cawangan perbadanan itu di Negeri Sembilan.

Tugas mereka mengutip apa juga sampah-sampah kecil antaranya plastik pembungkus gula-gula, slip bank dan yang paling ‘popular’puntung rokok. Itu adalah antara jenis sampah yang banyak dibuang dan kurang dipedulikan orang ramai.

Usaha ini mungkin nampak kecil, tetapi ia permulaan kepada budaya kebersihan yang besar manfaatnya kepada orang ramai dan persekitaran.

Amalan mengutip sampah-sampah kecil ini bukannya perkara baharu, malah semasa di tadika dan sekolah rendah, kita sentiasa dididik mengutip sampah di kawasan sekolah. Malangnya, amalan itu tidak melekat dalam minda kita apabila dewasa.

Difahamkan setakat ini, beberapa agensi antaranya Majlis Perbandaran Seremban, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan akan mengikut jejak langkah SWcorp itu.

Wajar benar ia dijadikan budaya baharu di semua pejabat kerajaan dan swasta. Bukannya lama sangat, hanya memerlukan masa 30 minit kutip sampah di sekitar pejabat masing-masing.

Kawasan tempat kerja akan jadi bersih, badan berpeluh sedikit dan anda juga aktif untuk memulakan tugas. Setidak-tidaknya ia lebih bermanfaat daripada menghabiskan masa bersarapan sambil ‘membawang’ pada waktu pagi. UTUSAN ONLINE