Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) adalah agensi yang menyediakan program TVET di pelbagai peringkat kemahiran.

Beliau berkata 345 kursus atau program pendidikan TVET disediakan untuk dipohon di sembilan institusi antaranya Kolej Kemahiran Tinggi MARA, GiatMara, Universiti Kuala Lumpur serta Akademi Kemahiran Kemas di Gopeng dan Seri Iskandar.

“KPLB juga bekerjasama dengan rakan industri kerana apabila kita menyediakan kemahiran kepada mereka (pelajar) sudah pasti apabila sudah habis kursus, mereka memerlukan peluang pekerjaan dan hari ini kita saksikan 10 syarikat memberi surat tawaran kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Ekspo [email protected] di Royal College Of Medicine Perak (RCMP), Universiti Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata usaha melengkapkan diri golongan belia dengan bidang kemahiran terkini yang bersesuaian akan dapat memberi nilai tambah sekali gus membantu mereka untuk meraih pendapatan lebih baik.

“Dengan pendapatan yang baik akan menjadi motivasi kepada rakyat untuk terus meningkatkan taraf kehidupan, mengamalkan gaya hidup sihat serta merapatkan jurang ekonomi masyarakat di bandar dan luar bandar,” katanya.

Menurut Rina, kadar kebolehpasaran pelajar selepas mengikuti TVET di bawah KPLB adalah melebihi 70 peratus termasuk di MARA 85 peratus manakala PERDA 74 peratus.

“Sebenarnya, sekarang ini kita lihat dulu pasaran dalam negara kerana kita masih kekurangan pekerja mahir, namun tidak salah memberi peluang kepada mereka yang ada pengalaman untuk bekerja atau pendedahan ke luar negara,” katanya.

Bercakap mengenai ekspo yang berlangsung selama tiga hari itu, Rina berkata pihaknya berharap agar belia terutamanya di luar bandar akan merebut pelbagai peluang latihan kemahiran yang ditawarkan bagi memberi nilai tambah kepada diri masing-masing dalam laluan kerjaya di bidang TVET.

“Penganjuran ekspo [email protected] ini tepat pada masanya dan perlu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa pendidikan TVET juga boleh membuka laluan kerjaya yang cemerlang,” katanya. - BERNAMA