Perkara itu disahkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo, ketika dihubungi Astro Awani pagi tadi dengan menyatakan individu yang hilang dikenali sebagai ‘Haziq’.

“Setakat ini, kita sahkan, tiga rakyat Malaysia cedera, satu tidak dapat dikesan. Saya sedang menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan senarai rasmi mangsa yang terlibat.

“Yang tidak dapat dikesan ialah Haziq, anak kepada salah seorang mangsa yang cedera,” kata Nur Izzah yang berada di Wellington, ibu negara New Zealand.

Tambah beliau, atas persetujuan keluarga mangsa, pihaknya telah mendaftarkan nama Haziq sebagai ‘missing person’ (orang hilang) dan sedang dikesan.

Semalam, Wisma Putra menyatakan dua rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu, dengan media tempatan mengenal pasti mereka sebagai Mohd. Tarmizi Shuib dan Rahimi Ahmad.

Seorang lagi yang telah dikenal pasti turut tercedera ialah Nazril Hisham Omar, sepertimana diakui isterinya yang berada di Malaysia, yang dihubungi oleh media tempatan.

Menurut Nur Izzah lagi, pegawainya sedang dalam perjalanan ke Christchurch untuk memberi bantuan dari segi kaunseling kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Bagaimanapun, beliau berkata, difahamkan keadaan di sekitar lokasi kejadian ketika ini kembali tenang dan arahan berkurung kepada rakyat tempatan telah ditamatkan.

“Setakat ini, yang kami faham dari orang tempatan, semalam arahan berkurung telah ditamatkan dan semua dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Tetapi, akses ke hospital masih terhad, di mana hanya keluarga mangsa sahaja yang dibenarkan pergi ke hospital,” katanya.-UTUSAN ONLINE