Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, selain bantuan tersebut, bantuan musim tengkujuh turut diteruskan seperti biasa kepada pekebun kecil RISDA.

Menurutnya, bantuan tanaman semula untuk suku pertama dan kedua tahun ini telah dikeluarkan sementara bantuan bagi suku ketiga masih menunggu geran kerajaan untuk diteruskan.

“(Keputusan) yang diumumkan menteri mungkin membabitkan mereka yang tidak berada di bawah Risda, di Kedah mungkin ada tetapi jumlahnya sangat kecil.

“Namun, kebiasaannya kebun getah di luar RISDA mungkin dimiliki pihak-pihak estet atau syarikat yang memiliki keluasan yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul yang terkejut dengan keputusan kerajaan tidak melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil dan penoreh getah di negara ini.

Terdahulu, Johari dilaporkan berkata, nasib para penoreh dan pekebun kecil komoditi itu diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ tatkala mereka kini bergelut dengan situasi harga lantai yang hanya sekitar RM2.30 bagi setiap kilogram.

Sehubungan itu, Azman yang juga ADUN Lunas meminta Johari sebagai wakil rakyat kerajaan menyelidik terlebih dahulu maklumat yang diterimanya dan tidak mempolemikkan isu terbabit.

“Saya harap sebelum keluar apa-apa kenyataan sepatutnya beliau mendapatkan penjelasan terlebih dahulu, tidak perlu ikut rentak pembangkang yang sudah tentu mengecam dan membangkang apa sahaja seolah-olah kita menganiaya pekebun kecil,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak. - UTUSAN ONLINE