Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, enam daripadanya merupakan barangan baharu yang disenaraikan dalam SHMMP.

Katanya, enam barangan tersebut adalah cili kering, kacang panjang, kacang tanah, ikan segar beku kembung, selar dan selayang.

“Asas pilihan kepada barangan tambahan yang dikawal harga adalah berdasarkan kepada penggunaan paling tinggi sepanjang musim perayaan.

“Tempoh kuat kuasa SHMMP Hari Raya Aidilfitri dijalankan selama 30 hari bermula 21 Mei hingga 19 Jun depan,” katanya dalam sidang akhbar SHMMP Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2019, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Saifuddin Nasution berkata, antara barangan lain yang turut disenaraikan dalam skim tersebut adalah ayam (hidup, standard, super), telur ayam (gred A, B, C), daging lembu (tempatan, import), daging kerbau import (India), kobis bulat import, kelapa parut dan bawang (merah kecil India, besar import).

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan bermula 23 Mei hingga 5 Jun dan SHMMP Hari Gawai bermula 25 Mei selama 14 hari.

“Tempoh 14 hari itu membabitkan tujuh hari sebelum perayaan, hari perayaan dan enam hari selepas perayaan berbanding tujuh hari pelaksanaannya sebelum ini.

“Sebanyak 14 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai berbanding 13 jenis barangan sebelum ini iaitu membabitkan pertambahan cili kering,” katanya.

Dalam pada itu Saifuddin Nasution berkata, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan terhadap pihak yang didapati menaikkan harga sepanjang tempoh perlaksanaan tersebut.

Sementara itu, Salahuddin memberi jaminan bekalan makanan antaranya daging, ayam dan kelapa mencukupi sepanjang musim perayaan nanti.

“Bagi membantu rakyat me dapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan, jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani selama lima hari sebelum Aidilfitri akan dianjurkan di beberapa pasar tani terpilih seluruh negara.

“Setiap bekalan bahan makanan telah ditambah sebanyak 10 peratus bagi memastikan keperluan perayaan mencukupi,” katanya. - UTUSAN ONLINE