Pelajar tingkatan lima daripada 18 buah sekolah sekitar daerah ini menyertai kursus berkenaan yang dianjurkan Kelab Tabung Haji (TaHa) dan dikendalikan Berkat Minda Resources.

Pengarah Tabung Haji (TH) Kedah/Perlis, Nawawi Ishak berkata, seminar tersebut memberi pendedahan kepada para pelajar cara dan teknik menjawab kertas soalan peperiksaan mengikut skema pemarkahan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

“Matlamat utama seminar ini juga bagi membantu mereka yang juga ahli Kelab TaHa menduduki peperiksaan dengan lebih yakin sebelum menghadapi peperiksaan sebenar pada penghujung tahun ini.

“Lebih menarik, seminar ini disampaikan oleh panel-panel yang terdiri daripada guru-guru yang berpengalaman dan terlatih,” katanya ketika merasmikan Seminar Bimbingan Peperiksaan SPM di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kulim, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu, Md. Khasimee Mohammed; Pengarah Urusan Berkat Minda Resources, Mahmood Mat Ali dan Timbalan Pengarah TH Kedah, Muhamad Zaki Baijuri.

Seminar yang memasuki siri keenam melibatkan calon SPM tahun ini membabitkan subjek Bahasa Melayu, Sains dan Matematik kepada pelajar peringkat pertengahan bagi membantu mereka meningkatkan pemahaman dalam mata pelajaran terbabit.

Jelajah sama sebelum ini sudah dilaksanakan di Perak, Wilayah Persekutuan, Johor, Negeri Sembilan serta Sarawak dan disusuli di Perlis, esok.

Mengulas lanjut, Nawawi berkata, beliau yakin pengisian terbaik daripada panel-panel seminar dan sokongan pelbagai pihak akan memastikan pelajar tidak pulang dengan ‘dada kosong’ sebaliknya membawa bersama semangat baharu serta teknik menjawab soalan yang berkesan.

“Saya turut sempat menjenguk sesi seminar dalam subjek Bahasa Melayu dan mendapati teknik yang diajar penceramah berupaya merangsang pelajar berfikir dengan baik sebelum menjawab soalan yang dikemukakan.

“Justeru, saya berharap calon-calon tidak mensia-siakan peluang yang disediakan Kelab TaHa yang kini memiliki 1.19 juta ahli membabitkan murid dan pelajar dari seluruh negeri,” ujarnya.

Kelab TaHa merupakan sebuah organasisi yang menarik dan eksklusif kerana ahlinya telah dididik untuk menabung sejak usia muda dengan matlamat untuk menunaikan Fardhu Haji. - UTUSAN ONLINE