Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, visa haji yang diperoleh oleh kumpulan itu tidak dapat disahkan oleh pihak Imigresen Arab Saudi dan difahamkan mereka akan diterbangkan pulang ke Malaysia malam ini.

“Kumpulan yang diuruskan oleh sebuah syarikat pelancongan itu tiba pada pukul 7 petang semalam tanpa wakil dari syarikat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat jemaah di Maktab 78 di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara tersebut di luar bidang kuasa Tabung Haji kerana mereka bukan pemegang visa rasmi yang diperoleh kerajaan Malaysia dan segala urusan dilakukan melalui syarikat persendirian.

Katanya, memandangkan tidak termasuk dalam visa haji diuruskan Tabung Haji, mereka dipercayai mempunyai masalah dengan visa Furada, iaitu visa haji yang diperoleh dengan berurusan secara terus dengan Kedutaan Arab Saudi.

“Bagaimanapun, saya ingin memaklumkan kepada keluarga mereka di tanah air, Tabung Haji berusaha memastikan mereka dalam keadaan selesa dengan mendapat makanan, minuman dan tempat tinggal,” tambahnya.

Fuziah berkata, jemaah rasmi jemaah Malaysia adalah mengikut kuota biasa iaitu seramai 30,200 orang, di samping beberapa ribu yang memperoleh kuota tambahan.

Sementara itu, portal Saudi Gazette melaporkan lebih 329,000 orang dilarang memasuki Tanah Suci kerana tidak mempunyai permit atau visa haji yang sah untuk menunaikan haji musim ini.

Dalam laporan itu, Emir Mekah Putera Khaled Al-Faisal berkata, lebih 144,000 kenderaan tanpa permit juga dilarang daripada memasuki bandar raya ini, 15 pemandu ditahan kerana membawa jemaah secara haram dan 181 pejabat haji palsu ditutup.

Putera Khaled yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji berkata, kerajaan Arab Saudi akan menggerakkan 350,000 kakitangan dari pelbagai sektor untuk menyantuni jemaah haji tahun ini - UTUSAN ONLINE