Memorandum yang diserahkan kepada Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri itu adalah untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati apabila kerajaan dikhabarkan akan memberi kontrak kepada kontraktor besar gred G7 atau Kelas A. 

Menurut Presiden Perkobf, Tukiman Radion, keputusan kerajaan menidakkan peluang kontraktor G1 atau dahulunya dikenali sebagai Kelas F boleh memberi impak besar sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.

Tukiman malah mengatakan apa yang lagi dikesali adalah kontraktor bumiputera G1 tidak dimaklumkan mengenai hasrat kerajaan menghentikan projek kepada mereka dan hanya mengetahuinya menerusi tender terbuka yang disiarkan dalam akhbar.

“Kami amat berharap BPH menghentikan niat untuk menyerahkan projek baik pulih kepada kontraktor berskala besar dan beri semula kepada kami. Lagi pun inilah tujuan diwujudkan kontraktor kecil.

“Tugas kontraktor G7 ialah untuk membangunkan projek berskala besar. Mereka sepatutnya membina bangunan baharu dan mencari peluang di luar negara. Bukannya projek-projek baik pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada BPH di Putrajaya dekat sini hari ini. - UTUSAN ONLINE