Kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka apabila dapat melepaskan rindu setelah bertahun tidak bertemu keluarga kerana menjalani hukuman atas kesalahan yang dilakukan.

Pengarah PPA, Penolong Kanan Komisioner (PPK), Zaidi Hamid berkata, banduan yang menyertainya dipilih berdasarkan sikap positif dan tingkah laku baik yang ditunjukkan sepanjang berada di penjara tersebut.

“Kami menerima permohonan daripada banduan untuk menyertai program hari ini sebab ada yang sudah lama tidak berjumpa.

“Melalui permohonan itu, kita akan membuat semakan dan dipilih berdasarkan beberapa kriteria. Kebanyakkannya adalah mereka yang menerima hukuman lama sehingga 30 tahun atau lebih,” katanya selepas Program Jalinan Kasih di sini hari ini.

Sementara itu, seorang banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Me Ran,36, berkata, sambutan Syawal tahun ini amat bermakna apabila dia terpilih dan dapat bertemu keluarga.

“Ba­nyak pengajaran yang diperolehi sepanjang saya berada di sini termasuk mempelajari ilmu agama dan solat.

“Di sini juga, kita dapat kenal siapa diri kita dan berubah ke arah yang lebih baik selain sentiasa dekatkan diri dengan Allah,” katanya. - UTUSAN ONLINE