Pengarah Himpunan 355, Nasrudin Hassan berkata, himpunan yang akan bermula pukul 2 petang dan berakhir 11 malam itu menampilkan seramai 21 pemidato terdiri daripada tokoh serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, antara tokoh yang akan hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Presiden Pas yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Tokoh lain yang dijangka ha­dir ia­­lah Pengerusi Sek­retariat Ulama dan Umarak, Datuk Jailani Ngah dan Presiden Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad.

“Selain itu, antara NGO yang akan mengambil bahagian di himpunan itu ialah wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Pertubuhan Ayahanda Malaysia dan beberapa wakil ahli Parlimen Islam,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Nasrudin ber­kata, selain program ceramah, pihak sekretariat himpunan turut mengadakan solat asar, maghrib dan isyak berjemaah serta munajat perdana.

Beliau memberitahu, seramai 2,000 sukarelawan dan 500 anggota skuad khas akan terlibat bagi memantau perjalanan program tersebut.

“Walaupun tapak Padang Merbok hanya dapat menampung sekitar 40,000 hingga 50,000 peserta tetapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi kerjasama untuk membuat sekatan jalan di beberapa kawasan sekitar bagi menampung jumlah peserta.

“Malah, para peserta juga digalakkan membawa sejadah, air mineral untuk minum dan berwuduk serta alas duduk. Saya ingatkan pemandu bas yang membawa peserta datang lebih awal supaya tidak ber­laku kese­sakan,” katanya.