Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Mohammad Fait Abd. Rashid berkata, kesemua kenderaan itu ditempatkan di Pusat Rawatan Tabung Haji Syisyah dan Unit Kecemasan Abraj Al-Janadriyah di sini.

“Penempatan ambulans di Unit Kecemasan itu dilakukan kerana ia berada lebih dekat dengan penginapan jemaah dan menggelakkan tersangkut dalam kesesakan,” katanya kepada pemberita Malaysia yang melawat Pusat Rawatan Syisyah di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, daripada 20 ambulans tersebut, dua daripadanya adalah ambulans mini yang akan dijadikan sebagai klinik bergerak yang ditempatkan berhampiran tempat melontar Jamrah di Mina.

Katanya, kebanyakan usia ambulans-ambulans itu adalah di bawah dua tahun dengan 12 daripadanya menggunakan kenderaan jenama GMC, enam Toyota dan dua daripadanya ambulans mini.

“Tahun lepas kami menempatkan satu ambulans mini berhampiran Jamrah bagi membantu jemaah yang sakit selepas melontar dan tahun ini kita akan minta untuk tambah satu lagi ambulans mini,” katanya.

Beliau berkata, ambulans mini yang menjadi klinik bergerak itu sangat penting untuk memberi bantuan awal kepada jemaah yang sakit atau kepenatan selepas melontar kerana mereka perlu berjalan jauh dari khemah mereka di Mina.

“Jarak pergi balik khemah jemaah Malaysia ke tempat melontar Jamrah adalah lebih tiga kilometer dan kebanyakan jemaah berusia akan menghadapi masalah ketika dalam perjalanan pulang ke khemah,” tambahnya.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, katanya, Tabung Haji juga akan menyediakan lapan buah bas tahun ini untuk perkhidmatan Safari Wukuf iaitu membawa pesakit yang dirawat di hospital untuk melakukan wukuf pada Hari Arafah. - UTUSAN ONLINE