Menerusi pemberian itu, seramai 20,716 pelajar menerima sebanyak RM1,500 seorang bertujuan menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan menjelaskan, pemberian WPP tersebut merupakan permulaan usaha PTPTN untuk memastikan tidak ada pelajar yang tidak boleh masuk ke IPT kerana masalah kewangan.

"Perbelanjaan sebelum memasuki IPT agak tinggi dan tidak mampu bagi ibu bapa pelajar berkenaan yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

"Sehubungan itu, PTPTN telah memikirkan kaedah terbaik membantu pelajar dengan menyediakan kemudahan WPP sebanyak RM1,500 seorang membolehkan mereka yang merupakan bakal mahasiswa serta ibu bapa membuat persiapan melangkah ke menara gading," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penyerahan WPP PTPTN bagi sesi kemasukan September 2019 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.

Seramai 359 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan yang disediakan sebanyak RM538,500.

Sementara itu, Wan Saiful menjelaskan, PTPTN akan mempertimbang cadangan untuk menaikkan jumlah WPP daripada RM1,500 yang diberikan ketika ini.

"Terdapat permintaan supaya PTPTN menaikkan jumlah pemberian WPP, kami akan mempertimbangkan jumlah sewajarnya namun setakat ini itulah jumlah yang diberikan, tapi tentu kami akan pertimbangkan apa lebih baik untuk pelajar pada masa akan datang," katanya.-UTUSAN ONLINE