Sijil penghargaan tersebut di­sampaikan Ketua Jabatan Pen­cegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-212 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Koperal Mohd. Fitri Lasim, 34, dan rakan setugasnya, Konstabel Nor Azrin Mohd. Zainal, 22, menolak rasuah sebanyak RM60 yang ditawarkan dua lelaki warga Myanmar semasa ma­hu mengambil tindakan terhadap mereka atas kesalahan lalu lintas, Disember lalu.

Dalam kejadian pukul 9.45 pagi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Iskandar ke Jalan Dato Onn Jaafar itu, kedua-dua anggota polis tersebut cuba disogok sebanyak tiga kali oleh dua lelaki yang merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menurut Mohd. Fitri, sebagai anggota polis, dia sentiasa ber­pegang kepada amanat ke­pemim­pinan tertinggi pasukan beruniform itu agar sama sekali tidak terjebak dalam amalan ra­suah.

Malah, katanya, pesanan yang kerap dilontarkan Ketua Polis Balai Pekan Baru, Asisten Superintenden Mohd. Marei Sujari semasa taklimat tugasan agar menolak sebarang bentuk sogokan juga menjadi ‘pendinding’ kepadanya untuk menolak suapan tersebut.

“Kami bekerja dengan ikhlas untuk masyarakat dan tidak peduli apa juga pandangan ne­gatif mereka. Mungkin ada segelintir (anggota) terlibat, namun jangan melihat kesemuanya sa­ma,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Nor Azrin berkata, sijil penghargaan yang ditandatangani sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun itu disifatkan amat bermakna tambahan lagi diterima pada hari lahirnya.

“Saya baharu setahun dua bu­lan bertugas sebagai anggota polis dan pengalaman ditawarkan sogokan ini membuatkan saya terkejut, namun atas dasar integriti, kami menolak sogokan itu.

“Sijil penghargaan ini amat bermakna dan menjadi hadiah hari lahir saya. Penghargaan ini juga memberi dorongan dan semangat untuk saya agar berkhid­mat dengan lebih ber­disiplin dan amanah,” katanya.