Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, daripada jumlah itu, KLK dijangka merekodkan purata 179,000 kenderaan sehari manakala LPT1 dengan purata 76,600 buah.

“Pada hari biasa, purata kenderaan di KLK ialah 108,000 dan dijangka meningkat 65 peratus manakala bagi LPT1 pula jumlah hari biasa ialah 48,000 yang dijangka meningkat sebanyak 57 peratus.

“Bagi melancarkan kesesakan trafik, antara langkah dan inisiatif Anih ialah memberikan tumpuan kepada tiga perkara iaitu pengurusan tol, pengurusan ronda trafik dan pengurusan fasiliti,” katanya dalam sidang akhbar pada program Berkongsi Barakah Ramadan dan edaran juadah iftar kepada pengguna LPT1 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di sini semalam.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Seri Aziz Abdullah.

Selain mengedarkan juadah iftar, Anih turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dari tiga rumah kebajikan di daerah ini. - UTUSAN ONLINE