ARUL KANDA

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, jelajah itu merupakan platform terbaik untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang situasi sebenar 1MDB selain menangkis tuduhan tidak benar oleh pembangkang selama ini.

Menurutnya, adalah pen­ting untuk diadakan sesi tersebut agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan tuduhan tidak benar pembangkang atau hanya mendengar berita daripada sebelah pihak sahaja.

“Matlamat kami adalah untuk menerangkan kepada orang ramai tentang perkara sebenar mengenai 1MDB dan ia amat penting kerana pada waktu ini, ada pihak tidak bertanggungjawab telah menyebarkan be­rita fitnah mengenai 1MDB.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menerangkan kepada rakyat Malaysia tentang peranan 1MDB yang sebenarnya. Harapan saya adalah untuk memastikan rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan fitnah serta berita palsu me­ngenai 1MDB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program Bicara Isu-isu Semasa peringkat negeri anjuran Kelab Sahabat N87 Melaka di Restoran Me­layu Melaka di sini, malam tadi.

Yang hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Ne­geri, Datuk Othman Muhamad; Pengerusi N87 Melaka, Osman Ismail dan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Pejabat Perdana Menteri, Datuk Shah­lan Ismail.

Dalam program itu, Arul dan Shahlan dijemput untuk memberi penerangan mengenai 1MDB selain berinteraksi dengan orang ramai yang hadir sesi soal jawab di penghujung program.

Arul memberitahu, beliau berpuas hati dengan respons orang ramai selepas mendapat penerangan lanjut berkaitan isu 1MDB yang mereka tidak jelas selama ini.