Ketua Pengarahnya, Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, sehubungan itu orang ramai diminta berhati-hati ketika berkunjung ke lokasi perkelahan itu khususnya sewaktu musim cuti persekolahan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, senarai lokasi itu membabitkan kawasan-kawasan perkelahan di seluruh negara terutamanya di Pantai Timur.

Selain itu kata beliau, JBPM turut mengesan 39 lokasi panas perkelahan berisiko sederhana termasuk di sungai, tasik, lombong, air terjun dan empangan berdasarkan rekod kekerapan kelemasan dalam tempoh tiga tahun sejak 2016.

“Antara kawasan perkelahan yang berisiko tinggi termasuk Pantai Nipah, Kelantan; Air Terjun Lata Berembun dan Air Terjun Chamang di Pahang, Air Terjun Sekayu, Terengganu; pantai Port Dickson, Negeri Sembilan; Pantai Pertak, Selangor dan Pantai Puteri, Melaka.

“Sebanyak 19 lokasi ini dikesan merekodkan jumlah kemalangan mati lemas tinggi dengan kekerapan lima kes dalam tempoh tiga tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Ramadan JBPM 2019 di Bukit Katil di sini malam ini.

Menurut Muhammad Hamdan, sempena cuti perayaan Aidilfitri ini beberapa pasukan JBPM akan ditempatkan di lokasi-lokasi berisiko tinggi berkenaan untuk rondaan keselamatan secara berkala.

Katanya, langkah itu juga dibuat bagi menjimatkan masa kerja-kerja penyelamatan sekiranya berlaku kes-kes lemas.

“Bagi memastikan keselamatan orang ramai terkawal, kita juga hanya membenarkan 20 peratus daripada lebih 14,000 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Senarai 19 lokasi panas kes lemas tersebut adalah seperti berikut :

Kawasan sungai

1. Sungai Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah

2. Sungai Sekolah Kebangsaan Cina Kampung Timah, Sungai Tinggi, Selangor

3. Sungai Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan

4. Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor

5. Sungai Gasi, Sungai Buloh, Selangor

Kawasan pantai

6. Pantai Nipah, Bachok, Kelantan

7. Muara Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan

8. Pantai Teluk Bahang, Pulau Pinang

9. Pantai Pengkalan Balak, Melaka

10. Pantai Desaru, Johor

11. Pantai Air Papan, Mersing, Johor

Kawasan lombong/empangan

12. Empangan Semenyih, Semenyih, Selangor

13. Empangan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor

14. Jambatan Stesen KTM, Sungai Buloh, Selangor

Kawasan air terjun

15. Sungai Sendat, Ulu Yam, Selangor

16. Air Terjun Sekayu, Terengganu

17. Lata Berembun, Raub, Pahang

18. Chamang, Bentong, Pahang

19. Air Terjun Sagil, Muar, Johor - UTUSAN ONLINE