Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, kesemua mereka adalah antara 30 orang nelayan yang menjalani ujian saringan air kencing bermula pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang.

Menurut beliau, mereka yang berusia antara 18 hingga 55 tahun itu serta merupakan warga tempatan, positif dadah jenis syabu dan heroin.

"Operasi ini bertujuan membasmi penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan nelayan di sekitar kawasan itu di samping mencegah perlakuan jenayah maritim lain.

"Operasi bersama ini juga adalah bertepatan dengan Projek Rintis AADK dalam menangani masalah sosial tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Mahmad, kesemua nelayan yang didapati positif dadah itu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut oleh pihak AADK.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang perairan negara dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan dadah dan sebarang aduan di laut, menghubungi talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya. - UTUSAN ONLINE