Selain melihat belasan rakan mati di medan peperangan, puluhan rakannya yang berkhidmat bersama dalam angkatan tentera juga cedera hingga cacat seumur hidup.

Abu Bakar yang merupakan anak jati Kampung Bertam berkata, keadaan seumpama itu tidak lagi dihadapi anggota angkatan tentera masa sekarang dan ianya perlu dijadikan peringatan bersama untuk terus pertahankan tanah air.

Katanya, jasa dan pengorbanan anggota tentera terdahulu perlu didedahkan kepada pelajar sejak di sekolah rendah dan menengah.

“Cerita tentang sejarah dan perjuangan anggota tentera terdahulu perlu sentiasa didedahkan supaya golongan menghayati perjuangan mempertahankan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah pada Program Kemerdekaan @ Komuniti peringkat daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bendahara di Kampung Jerek, hari ini.

Perasmian program itu dilakukan

Pegawai Penerangan daerah, Mohamad Roslan Hussin dan Pengetua SMK Tengku Bendahara, Ajuri Yaacob.

Abu Bakar berkata, pengalamannya bertempur dengan komunis di Hutan Batu 26 Jalan Jeli - Gerik, Perak pada tahun 1981 yang menyebabkan 17 rakan terbunuh.

Katanya, dalam pertempuran itu juga tiga rakan parah diserang semata-mata mempertahankan tanah air daripada gangguan komunis.

“Komunis menyerang kerana ingin mengagalkan pembinaan Jalan Jeli-Gerik (Timur-Barat) tetapi kita dapat mempertahankannyan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Roslan berkata, program penghayatan kemerdekaan ini memberi manfaat kepada generasi baharu khususnya pelajar.

Katanya, kebanyakan generasi muda hari ini tidak tahu secara mendalam berhubung kejadian pertempuran tentera dengan komunis sebelum ini.

“Tujuan program ini ialah untuk menyedarkan pelajar dan mengingat sejarah serta jasa pejuang mempertahankan tanah air.

“Lebih 300 pelajar serta guru mendengar dan menghayati kisah tokoh pejuang yang disampaikan oleh Abu Bakar sendiri. Selain itu, kita juga mengadakan pameran kelangsungan hidup kententeraan dan Persembahan Tambo Briged 8 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), “ katanya. - UTUSAN ONLINE