Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam, semua nelayan warga Myanmar berusia antara 20 hingga 50 tahun selamat dan hanya seorang sahaja dilaporkan cedera ringan.

Pengarah Maritim Malaysia negeri Perak, Kapten Wan Mat Wan Abdullah berkata, bertindak di atas maklumat yang diterima dua aset maritim iaitu KM Marlin dan Petir 80 telah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kerja-kerja memadam api terus dijalankan menggunakan water cannon KM Marlin. Beberapa buah bot nelayan yang berhampiran turut membantu memadam api tersebut.

"Manakala Petir 80 melakukan pencarian mangsa di kawasan sekitar," katanya.

Katanya, kesemua mangsa dipercayai terjun ke dalam laut dan di selamatkan bot nelayan yang berada berhampiran.

Menurut Wan Mat, 16 mangsa dipindahkan ke KM Marlin untuk dibawa ke jeti berhampiran manakala seorang lagi yang mengalami cedera ringan dipindahkan ke Bot Petir 80 dan dibawa ke jeti Jabatan Perikanan bagi mendapatkan rawatan.

"Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 4.30 pagi setelah kesemua mangsa selamat tiba di jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh seterusnya dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Perak untuk diambil keterangan," katanya. - UTUSAN ONLINE