Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar menyempurnakan upacara pelepasan para peserta ke beberapa lokasi di daerah Baling, termasuk Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Gua Sireh dan Tasek Beris di Sik.

Urusetia program itu, Ramzi Akmal Hassan berkata, pasukan tersebut bersaing bagi merebut pelbagai hadiah disediakan penganjur termasuk wang tunai sebanyak RM1,000.

“Tema yang dipilih pada program itu adalah sejajar dengan program mempromosi pelancongan Kedah. Diharapkan banyak pengalaman menarik bakal diperolehi peserta apabila menyertai aktiviti lasak seperti ini dan boleh dijadikan satu kenangan manis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Suhaimie Mahbar; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Isahak Murat; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd. Yusof dan Timbalan Pengarah Kanan Intan, Mohd. Bakhari Ismail.

Selain itu, Pegawai Kemajuan Negeri Kedah di Jabatan Perdana Menteri, Megat Sany Megat Sapuan dan Pengarah Intan Wilayah Utara, Aizal Mazlan.

Pada majlis tersebut, Ismail turut merasmikan Intan Challenge Cube (Incube) bagi membolehkan penjawat awam meningkatkan ketahanan fizikal dan mental semasa menyertai pelbagai kursus di situ.

Dalam pada itu, Ramzi Akmal berkata, Incube menyediakan kemudahan aktiviti lasak seperti abseiling, dark maze, dangle duo dan via ferrata. - UTUSAN ONLINE