Jabatan itu dalam kenyataannya memberitahu, pada bacaan itu juga, sebanyak 49 stesen mencatatkan bacaan IPU tahap sederhana dan hanya satu stesen menunjukkan kualiti udara pada tahap baik iaitu di Langkawi, Kedah.

“16 kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah Batu Muda (152) dan Cheras (145) di Kuala Lumpur, Putrajaya (136) serta lima kawasan di Selangor iaitu Petaling Jaya (137), Shah Alam (127), Klang (119), Banting (122) dan Johan Setia (160).

“Selain Nilai (142) dan Seremban (115) di Negeri Sembilan, Bukit Rambai, Melaka (103), Rompin, Pahang (192), Tiga kawasan di Sarawak iaitu Sri Aman (195), Samarahan, (122) dan Kuching (149) selain di Tangkak, Johor (110),” jelas jabatan itu dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Menurut jabatan itu, tiada stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat pada hari ini, bagaimanapun, sesi persekolahan di Kuching dan Sri Aman, Sarawak ditutup pada hari ini berikutan keadaan jerebu yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan bahagian Barat Sarawak.

“JAS juga telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa,” jelasnya.

Dalam pada itu jelas JAS, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam, terdapat 20, 391 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia, 255 titik panas dikesan di Kalimantan dan 12 titik panas dikesan di dalam negara iaitu tujuh di Johor, dua di Pahang dan masing-masing satu di, Selangor, Perak dan Terengganu. -UTUSAN ONLINE