Pemeriksaan dibuat di sekitar Bandar Cukai dan Pekan Kerteh bermula pukul 8 malam (Jumaat) dan berakhir pukul 1 pagi (Sabtu) diketuai Ketua Cawangan KPDNHEP, Azahar Mohd Zain dan dibantu enam anggota penguatkuasa Cawangan KPDNHEP Kemaman.


Azahar berkata, 15 stesen minyak yang diperiksa itu temasuk Petronas (enam buah), Shell dan Petron masing-masing empat buah dan sebuah Caltex bagi memastikan bekalan petrol dan diesel sentiasa mencukupi.


“Penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan mulai 12 tengah malam kelmarin (5 Januari) dengan harga RON95 serta RON97 diturunkan sebanyak 27 sen menjadi RM1.93 dan RM2.23 seliter, manakala harga diesel turun 14 sen menjadi RM2.04 seliter.


“Bahan api petrol dan diesel telah diwartakan sebagai barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975 lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati stok bekalan minyak petrol dan diesel di stesen minyak daerah Kemaman mencukupi dan tiada stok out berlaku di mana jumlah semasa RON 95 : 500,579 Liter, RON 97 : 87,457 Liter dan DIESEL : 248,104 Liter.


Menurut Azahar, kesemua stesen minyak yang diperiksa di sekitar daerah ini didapati mempunyai lesen dan kebenaran menjual minyak masih dalam tempoh sah.


Malah jelasnya, buku stok dan dipping di semua stesen telah dikemaskini serta semua pam nozel stesen minyak masih dalam tempoh penentusahan.


“Pengusaha stesen minyak perlu tahu kesalahan melanggar arahan pengawal Peraturan 21 Peraturan - Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1974 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua denda RM3 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.


Jika berlaku sebarang kemusykilan tentang harga barangan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi Cawangan KPDNHEP Kemaman di talian 09-8502457 atau Talian Bebas Tol 1-800-886-800 atau kunjungi Portal Rasmi KPDNHEP http://e-aduan.kpdnhep.gov.my - UTUSAN ONLINE