Perhimpunan dianjurkan oleh Ummah Perak dan Jaringan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Gerak Ummah selepas solat Jumaat.

Penyelaras program tersebut, Fairuz Hafiz Othman berkata, perhimpunan itu sebagai satu solidariti mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad dan tanda sokongan kepada pihak berkuasa yang tidak ragu-ragu mengambil tindakan terhadap mereka yang menghina Nabi Muhammad.

Menurutnya, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang cuba menimbulkan sesuatu yang tidak baik dalam negara dan melangkaui sempadan agama.

"Tindakan menghina Nabi Muhammad SAW merupakan satu ancaman kepada agama dan perpaduan kaum. Jika budaya ini diteruskan, ia boleh mencetuskan sesuatu yang tidak baik, khususnya dalam beragama yang mana Islam merupakan agama Persekutuan," katanya.

Beliau ditemui selepas perhimpunan membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad di Medan Datuk Sagor berdekatan Masjid Negeri di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Menurut Fairuz Hafiz, 15 perhimpunan membantah penghinaan terhadap Nabi di seluruh negeri yang diadakan hari ini menjadi satu momentum untuk menyedarkan mereka yang bukan Islam dan mengajak umat Islam bertanggungjawab membela Nabi.

Kata beliau, pihaknya akan melihat perkembangan tindakan yang telah diambil pihak berkuasa terhadap mereka yang terlibat menghina Nabi.

"Setakat ini kami berpuas hati tindakan yang telah diambil namun kami akan pantau jika ada ganggu daripada pihak luar yang cuba mengganggu atau mempersoalkan tindakan berkuasa.

"Jika itu berlaku, kami akan bangkit bagi pertahankan tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap penghina Nabi Muhammad SAW," katanya. - UTUSAN ONLINE