Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya menyasarkan sebuah Tabika Kemas di setiap negeri yang melaksanakan modul pembelajaran berbeza serta mengikut tema dengan kerjasama pintar sektor korporat dan swasta.

“Buat permulaan, kita buat setiap negeri hanya satu tabika kerana ini merupakan kerjasama daripada pihak swasta, jika dapat banyak lagi dana dan kerjasama kita akan tambah lagi.

“Kita juga dapat banyak penajaan daripada pihak swasta. Seperti di Melaka kita mendapat tajaan syarikat swasta untuk memberi peluang anak-anak menerokai bidang penerbangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pendidikan Awal Kanak-kanak ‘Pendidikan awal kanak-kanak alaf baharu’ di Kajang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Amiruddin Ariffin.

Rina menambah, modul yang dilaksanakan di setiap negeri akan berbeza mengikut kesesuaian antaranya dalam bidang robotik, automatif, marin dan kapal selam selain kerajaan mengharapkan penyertaan lebih banyak syarikat-syarikat swasta yang berkaitan dengan bidang tersebut.

“Kementerian berharap modul STREAM akan meningkatkan tahap kemahiran kanak-kanak apabila belajar di Tabika Kemas dan secara tidak langsung ia akan membentuk minat mereka selain menanam minat untuk menjadi seorang yang berjaya satu hari kelak.

“Selain itu, program STREAM ini juga dapat membentuk konsep kendiri yang positif dalam diri kanak-kanak sebagai persediaan memasuki Tahun satu persekolahan nanti,” katanya. - UTUSAN ONLINE