Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, bilangan pe­ngunjung yang hadir pada program itu menghampiri sasaran iaitu seramai 150,000 orang.

Ujarnya, MSAM mencatat purata jumlah pengunjung setiap hari kira-kira 26,000 orang dan jika momentum kedatangan pengunjung terus kekal atau bertambah, sasaran tersebut dapat dicapai menjelang hari terakhir MSAM 2016 Khamis ini.

“Sambutannya sangat mengga­lakkan sejak hari pertama hingga hari keenam semalam dengan jumlah pengunjung sehari bertambah kepada kira-kira 26,000 orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan MSAM 2016, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Hamad Kama Piah berkata, MSAM 2016 bukan sahaja dikunjungi masyarakat di Tapah, malah penduduk dari Bidor, Kampar dan Sungkai turut tidak melepaskan peluang ke pameran yang pertama kali diadakan di daerah tersebut.

Sementara itu, dalam majlis sama, Zambry turut menerima Anugerah Khas yang diberikan PNB atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan oleh beliau terhadap program tersebut.

MSAM 2016 dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sementara majlis penutup dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi esok.

MSAM 2016 yang berlangsung selama sembilan hari dibuka kepada orang ramai mulai 10 pagi hingga 10 malam kecuali Khamis ini yang tamat pada pukul 2 petang.