Penduduk di pangsapuri lima blok itu sejak sekian lama telah berhadapan pelbagai masalah melibatkan infrastruktur perumahan mereka.

Permasalahan itu merangkumi kerosakan enjin jana kuasa atau genset serta tangki simpanan air selain isu keselamatan lif dan keutuhan bumbung unit perumahan.

Berikutan permasalahann itu, penduduk pangsapuri ber­kenaan terpaksa menanggung kira-kira RM100,000 sebulan bagi tujuan penyelenggaraan.

Sehubungan itu, pihak kepemimpinan pangsapuri terdiri daripada 909 unit rumah itu merayu pihak berwajib termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendengar ritihan mereka.

Jelas Pengerusi Perbadanan Pangsapuri Putra Damai, Mohd. Redzuan Zainuddin, kawasan perumahan itu memerlukan dana untuk mengatasi permasalahan yang wujud kerana caj penyelenggaraan dikenakan kepada penduduk hanya dapat menampung 60 peratus daripada keseluruhan kos penyelenggaraan.

“Jika dilihat genset di pangsapuri ini, ia memerlukan kos besar untuk diselenggara dan kita juga berhadapan dengan kerosakan berterusan tangki simpanan air.

“Dari sudut pendawaian elektrik, kawasan perumahan ini kerap menghadapi masalah menyebabkan berlaku kerosakan lampu-lampu di koridor. Lantai lif di perumahan ini juga berlubang dan kita terpaksa menutupnya dengan lapisan papan lapis,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di perumahan berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Redzuan berkata, terdapat juga bumbung unit-unit rumah yang terdedah dengan risiko tercabut sekiranya berlaku angin kencang atau hujan kilat.

Katanya, ia didakwa berpunca daripada bumbung-bumbung itu tidak dipaku ketika dibina sebelum ini sekali gus mempertingkatkan risiko bumbung tersebut untuk jatuh me­nimpa penduduk dan kenderaan di bawah.