Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelaksanaan skim kawalan harga berkenaan membabitkan 151 kawasan dan daerah di seluruh negara.

“Skim itu dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan akan berkuat kuasa selama enam hari sebelum perayaan, satu hari pada hari perayaan dan lima hari selepas perayaan.

“KPDNKK telah mengenal pasti sebanyak 13 jenis barangan dan senarai berkenaan adalah kekal dan sama seperti tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC), dekat sini hari ini.

Yang turut hadir timbalan beliau, Datuk Henry Sum Agong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khair Baharom.

Hamzah berkata, barangan di bawah harga terkawal itu terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, barang kering, hasil laut dan daging babi.

Katanya, penentuan harga maksimum pengelur, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi memastikan harga yang ditentukan adalah berpatutan dalam rantaian pengedaran.  - UTUSAN ONLINE