Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, menerusi langkah itu, kerajaan akan mendapat penjimatan kos sebanyak RM805.99 juta.

“Perlu ditegaskan bahawa 121 projek infrastruktur tersebut tidak termasuk dua projek mega iaitu Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dengan kos sebanyak RM31.65 bilion dan Transit Aliran Massa 2 (MRT2) iaitu RM39.35 bilion.

“Ini susulan langkah Kementerian Kewangan pada 29 Jun 2018 yang mengumumkan beberapa langkah awal untuk meningkatkan tadbir urus perolehan kerajaan dan pengurusan kewangan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, antara langkah yang diperkenalkan adalah kajian semula projek-projek yang ditawarkan secara tender terhad dan rundingan terus yang diputuskan oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, berdasarkan kajian semula tersebut, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan tender terbuka bagi projek tender terhad dan rundingan terus yang belum dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST).

“Manakala bagi 121 projek tender terhad dan rundingan terus yang telah dikeluarkan SST, perjanjian tambahan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung bulan Mac ini.

“Ia dirunding semula sebagai usaha rasionalisasi kos projek tersebut sekali gus dapat mengurangkan tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan,” katanya.

Guan Eng menambah, dengan mengambil kira perkembangan semasa, pihaknya yakin bahawa pelaksanaan perolehan kerajaan secara tender terbuka pada masa akan datang dapat memberi penjimatan kos dan nilai faedah terbaik kepada negara.

“Kaedah lama pemberian kontrak dikekalkan, perbezaannya hanya tender terbuka dijalankan menggantikan penganugerahan secara rundingan terus atau tender terhad melainkan ada faktor-faktor kecemasan seperti kepakaran tertentu diperlukan ataupun sebab-sebab khas,” katanya.

Dalam masa sama, Guan Eng juga memberi contoh, kaedah untuk tawaran kontrak kepada kontraktor Gred G1 (dahulunya dikenali sebagai Kontraktor Kelas F) adalah masih sama.

Sebaliknya beliau berkata, hanya ia dijalankan secara saingan terbuka di dalam kalangan kontraktor Gred G1 dan bukan seperti dahulu.

“Dahulu dilakukan menerusi rundingan terus ataupun dengan keperluan mendapat tandatangan persetujuan daripada ketua bahagian parti politik.

“Pihak kementerianakan sentiasa mengambil inisiatif komprehensif dalam memastikan pelaksanaan perolehan merajaan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT),” katanya. - UTUSAN ONLINE