“Tulisan khat sahaja dan bukan pembelajaran Jawi. Itu saya rasa kita boleh beri gambaran jelas. Kita telah mencapai konsensus mengenai perkara itu. Kita tidak mempunyai sebarang keraguan mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas sesi perbincangan lebih sejam yang berlangsung di pejabatnya di sini hari ini.

Nie Ching berkata, turut dipersetujui dalam perbincangan itu ialah murid yang mempelajari pengenalan seni tulisan khat itu tidak diuji dalam peperiksaan.

“Ini adalah pendirian daripada NGO dan kami KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) memang bersetuju,” katanya lagi.

Sebelum ini, Nie Ching mengumumkan pengenalan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks (Bahasa Melayu) di semua sekolah dalam negara termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Keputusan tersebut turut membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

Selain itu, Nie Ching berkata, KPM juga komited untuk menambah baik Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

“Apabila KPM buat semakan dan tambah baik DSKP, kami akan adakan libat urus bersama NGO-NGO lagi supaya semua hasrat KPM boleh dicapai dan tidak menjadi ada apa-apa isu,” katanya.

Beliau berkata, bagi pihak KPM, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang taruh yang telah memberi pandangan masing-masing dan membantu kementerian untuk menyediakan kurikulum lebih baik yang dapat membawa manfaat besar kepada murid.

“KPM akan terus membuat lebih banyak libat urus untuk kepentingan murid,” tambah beliau.

Antara 12 NGO yang menghadiri perbincangan pada hari ini ialah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia dan Tamil Foundation. - BERNAMA