Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, laporan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan itu diterima sejak awal pagi tadi.

Katanya, menurut salah seorang pengadu, dia terbaca hantaran itu pada pukul 11.30 malam tadi lalu yang jelas menghina Nabi Muhammad SAW dan membuat laporan polis supaya siasatan dijalankan.

“Tangkap layar hantaran dan akaun Facebook suspek telah tular dan dikongsi oleh orang ramai.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati akaun Facebook itu sudah dipadamkan dan gagal dikesan namun kita masih berusaha mengesan suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, siasatan terhadap laman Facebook ‘Kiub Batu Itu Berhala’ mendapati ia merupakan kumpulan tertutup dan tidak boleh diakses.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. - UTUSAN ONLINE