Perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat itu bagi menyatakan rasa tidak puas hati di atas tindakan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras DUN (Japerun) Pantai Kundor yang melantik setiausahanya sendiri bagi menjawat jawatan tersebut berkuat kuasa 16 Februari lalu.

Bekas pengerusi jawatankuasa masjid berkenaan, Datuk Nor Azman Hassan mendakwa, pihaknya kesal kerana pengerusi yang dilantik bukan merupakan penduduk asal kampung atau kariah berkenaan kerana dia tinggal di Paya Rumput Sungai Udang.

"Penduduk kariah ini kesal kerana Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menetapkan syarat jawatan pengerusi mestilah seorang Islam, warganegara Malaysia dan mereka yang menetap di dalam kariah tetapi kenapa orang luar yang dilantik sebagai pengerusi masjid ini.

"Penduduk bukan membantah kerana jawatan saya yang dipegang selama lima tahun dikeluarkan tetapi persoalannya kenapa penduduk dari luar yang merupakan Setiausaha Japerun Pantai Kundor dipilih sebagai pengerusi," katanya ketika mengetuai perhimpunan itu di pekarangan masjid tersebut selepas solat Jumaat hari ini.

Surau Nurul Hidayah yang sebelum ini beroperasi sejak 28 tahun lalu di Kampung Tanah Merah Jaya telah dipindahkan ke kawasan sekarang mulai 1994 dan dinaik taraf sebagai masjid setahun kemudian.

Menurut Nor Azman, sepanjang beroperasi, tiada masalah berbangkit berhubung pelantikan pengerusi jawatankuasa masjid tetapi kali ini pihaknya kesal kerana pemilihan jawatan tersebut dibuat tanpa pengetahuan ahli kariah sendiri.

Dakwanya, surat permohonan untuk mencalonkan senarai ahli jawatankuasa masjid telah dikeluarkan oleh JAIM pada 16 Oktober lalu namun hanya jawatan bendahari yang diisi oleh kariah kampung tersebut.

Sementara itu, Imam 1 masjid tersebut, Abdul Talib Jantan berkata, dia kesal kerana pemilihan pengerusi tidak diadakan secara rundingan dengan beliau selaku pegawai syariah masjid sebaliknya diuruskan oleh pihak pengurusan Japerun dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pantai Kundor.

"Saya harap perkara ini dapat dibawa kepada pihak atasan kerana tidak mustahil saya sendiri bersama Imam 2 dan bendahari akan meletakkan jawatan jika ia tidak diatasi segera," katanya.

Seorang ahli kariah masjid, Mahad Jantan yang merupakan ahli jawatankuasa PKR Cabang Tangga Batu pula berkata, isu pelantikan pengerusi ini tidak melibatkan fahaman politik sebaliknya ia dipolitikkan oleh pihak Japerun sendiri.

"Saya sendiri ahli PKR dan satu kariah dengan bekas pengerusi yang juga pemimpin UMNO, walaupun kami berlainan fahaman politik tetapi kami penduduk kecewa kerana pengerusi dilantik daripada orang luar, itu sahaja," katanya. - UTUSAN ONLINE