Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Omar Ismail berkata, kesemua rampasan bernilai RM24,465 itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat dan aduan daripada pemilik cap dagang berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan kira-kira pukul 12 tengah hari ini di premis borong itu mendapati kesemua tudung tersebut menggunakan perihal dagangan palsu yang diedarkan di seluruh negara.

"Pemeriksaan bersama wakil pemilik dagang mendapati kualiti kain dan batu perhiasan yang dijual pihak tersebut berbeza dengan produk asli yang dikeluarkan syarikat yang mempunyai cap dagang.

"Malah, harga yang dijual pemilik premis terbabit juga antara RM10 hingga RM15 sehelai yang jauh berbeza dengan barangan asli iaitu bermula RM50 hingga puluhan ribu ringgit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Omar berkata, seorang pekerja wanita berusia 28 tahun turut dipanggil untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan bagi meneruskan siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

"Bagi kesalahan pertama melibatkan pertubuhan perbadanan, denda yang dikenakan tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

"Manakala, bagi individu atau bukan pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang atau penjara sehingga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama serta denda RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan seterusnya. -UTUSAN ONLINE