Kesemua air ketum itu dibungkus di dalam plastik lutsinar dan disembunyikan di dalam tong ais di rumah tidak bernombor berkenaan bersama-sama 90 kilogram daun ketum yang belum diproses.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah (1), Asisten Komisioner Rosman Ismail, serbuan menerusi Op Landai itu juga menahan tiga individu di dalam rumah berkenaan masing-masing dua lelaki berusia 20 dan 24 tahun serta seorang wanita berusia 35 tahun.

Tambah beliau, serbuan itu dibuat hasil maklumat orang awam yang curiga dengan aktiviti yang berlaku di rumah berkenaan selain intipan pihaknya sejak beberapa hari lalu.

“Kesemua rampasan ini bernilai RM9,600 dan kita percaya air ketum ini diproses untuk pasaran tempatan.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan dan barangan rampasan dibawa ke pangkalan Polis Marin, Batu Uban di sini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Rosman mengingatkan orang ramai yang mana pengambilan air ketum yang dilaporkan menjadi kebiasaan khususnya dalam kalangan nelayan dan pekerja buruh adalah merupakan satu kesalahan.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan sentiasa menjalankan operasi membanteras penyalahgunaan bahan itu dari semasa ke semasa dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dalam masa sama, kita juga menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti tidak sihat ini menyalurkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya. – UTUSAN ONLINE