Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, mangsa berusia 69 tahun disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Port Dickson, manakala seorang lagi mangsa parah di bahagian kepala.

Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan itu membabitkan dua buat motosikal masing-masing jenis Modenas Kriss dan Honda EX5.

"Siasatan awal mendapati warga emas yang beralamat di Kampung India Bukit Pelandok dan menunggang Modenas Kriss dari arah Chuah keluar ke simpang sebelah kanan apabila tiba di tempat kejadian.

"Sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dari arah Pekan Bukit Pelandok kemudian melanggar sisi kanan motosikal warga emas itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, lelaki berusia 69 tahun yang tidak bekerja itu mengalami kecederaan dalaman, manakala penunggang motosikal jenis Honda EX5 cedera parah di kepala akibat pelanggaran itu.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson bagi menerima rawatan sebelum lelaki warga emas tersebut disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.24 malam di unit kecemasan.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE