Mayat Idris Che Din, 81, dijumpai terapung di kawasan di sebuah jeram tepi sungai itu kira-kira pukul 12 tengah hari oleh penduduk kampung yang melancar gerakan mencarinya menggunakan bot sejak awal pagi ini.

Anaknya, Siti Zulaiha, 25, berkata, sebelum itu sekumpulan penduduk kampung telah menjumpai kain pelikat bersama selipar yang ditingggalkan arwah bapanya di tengah jalan menghala ke sungai terbabit pada pukul 10 pagi.

Katanya, penduduk mengesyaki mangsa ke Sungai Lebir yang terletak hampir satu jam perjalanan dari rumahnya itu sebelum mengadakan operasi mencari di kawasan itu.

“Penduduk sampai ke sungai dan menyusuri sungai menggunakan bot sebelum melihat mayat terapung di Sungai Lebir.

“Kejadian itu dimaklumkan kepada adik-beradik perempuan lain yang berada di rumah oleh abang dan kami menangis kesedihan kerana terkejut,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat warga emas itu di Sungai Lebir.

Katanya, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir.

Dalam laporan sebelum ini, sebuah keluarga dari RKT Kesedar Lebir di sini memohon pertolongan orang ramai untuk membantu mencari bapanya yang berusia 81 tahun dikatakan hilang dari rumah sejak petang Sabtu lalu.

Idris Che Din, 81, yang mengalami masalah nyanyuk dilihat kali terakhir oleh penduduk di sekitar kampung itu pada pukul 3 petang.

Susulan itu, ahli keluarga bersama polis dan orang kampung telah melancarkan gerakan mencari namun tidak menjumpai mangsa. -UTUSAN ONLINE