Wanita warga India maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 19 sebuah kondominium di Mont Kiara di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu ditemukan oleh pengawal keselamatan kondominim tersebut sebelum menghubungi pihak polis.

Mangsa berusia 55 tahun dikatakan datang ke Malaysia sejak dua minggu lalu bersama suaminya untuk melawat anak dan cucunya berumur tiga bulan yang tinggal di kondominium tersebut.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan berada dalam bilik tidur dan telah mengunci dirinya dari dalam.

Anak wanita terbabit yang bimbang akan keselamatan ibunya kemudiannya cuba memecahkan pintu bilik tersebut dan terkejut mangsa tiada di dalam biliknya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Arifai Tarawe berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE