Mayat Jamilah Yusof, 60, ditemukan oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kepada pihak polis, kira-kira pukul 3 petang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, menurut adik mangsa, kakaknya menghidap penyakit jantung, kencing manis serta darah tinggi dan membuat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan klinik kerajaan pada setiap bulan.

“Surat akuan kesihatan ada di dalam beg bersama-sama dengan mayat ketika ditemukan.

“Wanita berkenaan keluar bekerja sebagai tukang cuci dan mengikut kontrak syarikatnya, setiap hari dia akan menunggu kenderaan di tempat mayatnya ditemukan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd Ali, pihak bomba telah dimaklumkan bagi membantu mengeluarkan wanita berkenaan sebelum kematian disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE