Dalam kejadian kira-kira pukul 8.16 pagi tadi itu, lelaki berusia lingkungan 50-an berkenaan turut mengalami kecederaan 15 peratus terbakar pada anggota badannya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, setakat ini punca letupan masih belum dikenal pasti.

"Ketika pasukan bomba tiba di rumah tersebut, kita dapati sebahagian dinding rumah di bahagian bilik telah runtuh.

"Kesan daripada letupan tersebut juga terkena pada rumah sebelah menyebabkan keretakan pada dinding rumah berkenaan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, wanita warga emas yang tercedera dalam kejadian itu dipercayai terkena runtuhan dinding tersebut.

"Keterangan awal saksi mengatakan mereka terdengar letupan yang kuat dari rumah berkenaan dan punca kejadian masih disiasat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, setakat ini polis masih belum menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

"Kes dipercayai berlaku akibat kemalangan, tiada laporan polis diterima setakat ini," katanya. - UTUSAN ONLINE