Dalam nahas kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Robeah Samah dari Kampung Teluk Acheh di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Proton Saga FLX yang dalam perjalanan dari Pekan Yan ke Guar Chempedak itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kereta itu kemudian merempuh sebatang pokok di bahu jalan sebelah kiri sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, jenazah mangsa yang bekerja sendiri itu dibawa ke Hospital Yan untuk dibedah siasat.

Tambahnya, keadaan jalan ketika kejadian didapati basah dan licin.

“Saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.45 pagi.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yan kemudian mengeluarkan mangsa dari sungai dan menyerahkannya kepada pihak polis,” katanya. - UTUSAN ONLINE