Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa yang berusia 49 tahun dari Kuala Lumpur patah kaki kiri selepas kakinya tersangkut pada sebatang akar ketika menuruni bukit tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Zul Azman Jamaludin berkata, mangsa bersama rakannya mengikuti ekspedisi tersebut sejak Sabtu lalu dan ketika kejadian dia dikatakan dalam perjalanan pulang ke tapak kem yang terletak di kawasan rekreasi Chemerong.

“Ketika dalam perjalanan menuruni bukit mangsa dikatakan melanggar sebatang akar lalu terjatuh bersama muatan yang dibawa di belakangnya.

“Akibat keadaan itu kaki kiri mangsa patah dan rakannya bertindak segera menghubungi pihak berkuasa bagi meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Zul Azman, bomba dengan kekuatan 13 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 12.59 tengah hari dan mengambil masa hampir sejam untuk tiba di tapak kem tersebut. - UTUSAN ONLINE