Ketua Polis Daerah ini, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku antara pukul 3 hingga 3.15 petang melibatkan blok bangunan yang menempatkan kelas pelajar.

Beliau bagaimanapun memberitahu, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Menurut Mohd. Adli, ketika kejadian, kesemua pelajar telah pulang ke rumah setelah mendapat kebenaran pihak sekolah agar pulang lebih awal memandangkan sekolah itu terlibat dengan minggu peperiksaan.

"Kejadian ribut ini adalah yang pertama kali melanda sekolah ini. Sewaktu kejadian, sesi persekolahan sepatutnya masih berjalan tetapi minggu ini pelajar dibenarkan pulang lebih awal iaitu selepas solat Zohor kerana terlibat dengan minggu peperiksaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) ini bersama pasukan polis segera ke lokasi kejadian termasuk meninjau kerosakan untuk tindakan selanjutnya. - UTUSAN ONLINE