Difahamkan seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut dengan menaiki ambulan manakala empat lagi cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Penolong Penguasa Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 11.24 pagi.

Beliau berkata, tujuh anggota dari balai tersebut yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nazri Taib ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Berdasarkan maklumat awal, lori itu dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Machang, manakala Perodua Kancil dari arah bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan lori tersebut terbalik dan kereta jenis Perodua Kancil remuk di bahagian hadapan serta turut terbalik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta jenis Perodua Kancil
KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta jenis Perodua Kancil di Kampung Bukit Belah Machang hari ini. - UTUSAN ONLINE

Katanya, ketika pihaknya tiba di tempat kejadian kesemua mangsa telah dikeluarkan.

“Kita hanya membantu seorang penumpang wanita berusia 30-an yang ketika itu sudah pun keluar dari kereta berkenaan sementara dia di bawa ke hospital dengan ambulan,” katanya. - UTUSAN ONLINE