Pekerja Vietnam yang hanya mahu dikenali sebagai Atang, 39, berkata, insiden ngeri itu berlaku ketika kerja-kerja pemasangan cermin di laluan sepanjang 70 meter dilakukan.

Menurutnya, sebahagian besar daripada pekerja binaan berehat dan hanya beberapa orang masih menyiapkan kerja di situ.

 

Video oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

“Saya berada di atas bangunan berdekatan. Ketika itu memang tidak ramai pekerja yang memasang cermin itu tetapi tidak lama kemudian saya merasai gegaran.

“Beberapa saat kemudian sa­ya lihat jejantas itu runtuh dari kiri ke kanan merentangi sungai berdekatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini .

Difahamkan, jejantas itu meng­hubungkan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Abdullah Hukum ke pusat beli belah Mid Valley.

Sementara itu Ketua Polis Da­erah Brickfields, Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansor memaklumkan kesemua mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ujarnya, setakat ini enam mang­sa termasuk yang maut te­lah dikeluarkan manakala usaha bagi mencari seorang lagi mangsa yang tertimbus masih dijalankan oleh pihak penyelamat.

“Mangsa keenam ditemukan oleh pihak penyelamat kira-kira pukul 7 malam ini dan sehingga pukul 9.30 malam ini mangsa yang tertimbus belum ditemukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Tambah Shahrul Othman, setakat ini mangsa yang terlibat dalam insiden itu terdiri daripada dua orang warga Bangladesh, tiga Vietnam termasuk yang maut dan seorang warga Indonesia berusia antara 25 hingga 32 tahun.