Menurut Info Banjir yang di­siarkan di laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah terkini mangsa banjir di enam negeri terlibat ialah sebanyak 14,943 melibatkan 4,210 keluarga di 191 pusat pemindahan.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus meningkat daripada 5,912 orang kepada 7,083 orang membabitkan 1,854 keluarga.

Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana ne­geri, Zainal Yusoff berkata, jumlah mangsa dijangka terus me­ningkat terutama di Pekan berikutan berlaku limpahan air sungai dari Kuala Tahan, Jerantut ke Lipis dan seterusnya berakhir di daerah itu.

Di JOHOR, sebanyak 7,316 orang daripada 2,052 keluarga masih ditempatkan di 66 pusat pemindahan sementara di empat daerah setakat 5 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Da­tuk Ayub Rahmat berkata, di Segamat terdapat 5,492 orang daripada 1,585 keluarga ditempatkan di 47 pusat pemindahan sementara manakala di Tangkak sebanyak 1,540 orang daripada 392 keluarga di 12 PPS.

Di SARAWAK, seramai 5,084 mangsa daripada 769 keluarga terjejas ekoran banjir yang melanda beberapa daerah di Miri.

Sekretariat Jawatankuasa Pe­ngu­rusan Bencana negeri, Mejar Ismail Mahedin berkata, seba­nyak tiga daerah terjejas iaitu Ma­rudi, Niah dan Beluru namun tiada yang berpindah setakat pukul 4 petang ini.

Sementara itu di PERAK, banjir yang melanda beberapa daerah semakin pulih apabila mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan kepada 376 orang berbanding 565 orang yang direkodkan, semalam.

Pengerusi Sekretariat Pengurusan Bencana negeri, Mohd. Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata, kesemua mangsa banjir melibatkan 106 keluarga itu kini ditempatkan di lapan buah pusat pemindahan di seluruh negeri.

Di SELANGOR pula, jumlah mangsa banjir di daerah Sabak Bernam yang ditempatkan di tiga pusat penempatan sementara berkurangan daripada 357 semalam kepada 337 orang daripada 98 keluarga setakat pukul 5.30 petang ini.

Sementara itu di KELANTAN, keadaan banjir yang sema­kin pulih menyebabkan jumlah mang­sa di negeri ini terus ber­kurangan kepada 295 orang daripada 70 keluarga dengan hanya tujuh pusat pemindahan masih dibuka.

Di SABAH, banjir yang melanda beberapa kampung di daerah Pitas dan Beluran semakin baik dengan jumlah mangsa di tiga pusat pemindahan menurun kepada 228 orang daripada 86 keluarga berbanding lebih 400 orang semalam.

Di TERENGGANU dan NEGERI SEMBILAN, pusat pemindahan terakhir masing-masing di Dewan Orang Ramai Kampung Shukur, Dungun yang menempatkan 94 mangsa daripada 30 keluarga ditutup pada pukul 1.07 petang ini manakala di Dewan Besar Gemas, Tampin ditutup pada pukul 5.30 petang.