Kebakaran yang bermula pada pukul 9 malam itu dikatakan berpunca daripada salah sebuah rumah tersebut namun dilaporkan tiada sebarang kemalangan jiwa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba negeri, Mohd Wildan Azhari berkata, tekanan air rendah serta faktor angin telah merencatkan kerja-kerja memadamkan api kerana memakan masa yang lama.

Beliau berkata, pihaknya juga terpaksa membawa lori tangki untuk membantu kerja-kerja memadamkan air namun itu tidak mencukupi bagi menyelamatkan lebih banyak rumah.

“Kita telah membawa tujuh buah jentera dan lori tangki, dan ini sudah cukup untuk mengawal keadaan, tidak sampai tujuh buah rumah yang terbakar (dengan kekuatan tersebut) tetapi disebabkan tekanan air rendah kita terpaksa berpatah balik dan memakan masa yang lama.

“Kita akan melihat semula masalah ini (tekanan air rendah) dan akan dibincangkan dengan pihak majlis perbandaran,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.

Mohd. Wildan berkata, seramai 59 anggota dari lima balai bomba dikerahkan ke tempat kejadian dan dibantu oleh 31 anggota polis serta bomba sukarela.

Katanya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 9.59 malam namun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang mangsa, Abu Bakar Abd. Rahman, 63, berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga di kedai makan bersama dua anak dan dua menantunya.

Pesara guru itu menyedari kebakaran tersebut selepas terlihat api yang menjulang tinggi daripada kawasan kebakaran sebelum bergegas pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 10 meter dari kedai makannya.

"Bomba tiba awal, tetapi tidak dapat lakukan operasi memadam kebakaran kerana tekanan air rendah.

"Mujur anak sempat membawa keluar kereta yang diletakan berdekatan rumah.

"Saya juga tidak pasti berapa jumlah kerugian yang dialami,” katanya. - UTUSAN ONlLINE