Timbalan Ketuanya, Ismail Omar berkata, skuad itu bertujuan mendedahkan ahli terhadap kerja sukarelawan yang secara langsung dapat membantu penduduk dalam situasi kecemasan.

Beliau berkata, skuad berkenaan akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung Persekutuan (JKKP) yang membabitkan sembilan pasukan.

“Setakat ini kita sudah mempunyai 90 ahli skuad yang akan membantu sebelum, semasa dan selepas banjir. Mereka juga akan turut dibantu oleh Rakan Radio Amatur serta nelayan di Kuala Besar.

“Selain itu, tahun ini kita turut mengambil langkah awal menerusi kerjasama dengan agensi-agensi penyelamat seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan bomba serta polis,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di sini semalam.

Pada majlis tersebut, UMNO Bahagian Pengkalan Chepa turut memeterai kerjasama bantuan banjir bersama JPAM.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO bahagian yang juga penyelaras DUN Kijang, Wan Shahrul Azuan Abd. Azez berkata, Pusat Komuniti atau Dewan Cakna Rakyat itu akan turut dijadikan pusat rujukan dan bilik gerakan banjir.

“Selain dijadikan bilik gerakan banjir, pusat komuniti ini juga akan berfungsi sebagai pusat jalinan di antara masyarakat dengan pe­mimpin UMNO bahagian ini.

“Pusat Komuniti ini boleh digunakan oleh penduduk setempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti sukan mahupun mengadakan sebarang majlis keraian,” katanya.